Saya Juga
Anak Malaysia

Sesiapa sahaja yang terserempak dengan anak-anak kami akan menganggap bahawa mereka anak Malaysia. Namun, hakikatnya berbeza. Undang-undang yang berat sebelah tidak memberi hak sebegini. Dengarlah suara hati kami, dan fahamkan bagaimana anda boleh menyokong hak anak-anak kami.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan bahawa bapa warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing boleh menganugerahkan kewarganegaraannya secara automatik jika anak-anak mereka dilahirkan di luar negara. Sebaliknya, ibu warga Malaysia tidak memperoleh hak yang sama.

Sebaliknya, ibu warga Malaysia tidak memperoleh hak yang sama.

Walaupun ibu adalah warganegara, namun anak-anak kami tidak berstatus rakyat Malaysia. Mereka tidak diberi hak-hak asasi setaraf warganegara dalam perkara-perkara seperti akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial. Akibatnya, anak-anak kami dikebelakangkan berbanding dengan anak-anak lain.

Hubungan silaturahim juga terjejas apabila anak-anak kami tidak dapat pulang ke tanah air kerana tidak memiliki dokumen kewarganegaraan.

Kenapa mereka tidak diberi kewarganegaraan, anak yang berhati bersih?

Mari kita selami kisah Aini, seorang ibu warga Malaysia yang dikurniakan dua orang anak – seorang warganegara Malaysia dan seorang lagi yang bukan.

Ramai lagi ibu-ibu yang berada di dalam situasi seperti Aini.

kerisauan bahawa anak-anak saya akan terpisah jika ada apa-apa yang terjadi pada saya.

Anak kedua saya dilahirkan di UK semasa pandemik kerana sempadan masih ditutup pada masa itu. Proses permohonan kewargaannya akan mengambil masa selama lima tahun, dan tidak tentu bahawa ia akan diluluskan. Kami hanya boleh menunggu sambil mengharapkan keputusan yang baik.

Tanpa kewarganegaraan, anak kedua saya mungkin tidak boleh menetap di Malaysia seperti anak pertama saya yang mempunyai warganegara Malaysia.

Halangan birokrasi merupakan cabaran yang terbesar bagi kami. Setiap permohonan visa dan kewarganegaraan memerlukan amat banyak dokumen.

Selain itu, kos kesihatan juga menjadi cabaran. Pada tahun 2019, anak perempuan saya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana dijangkiti pneumonia. Saya terpaksa menanggung kos tinggi kerana dia dikenakan caj warga asing, walaupun saya telah mengemukakan dokumen yang menunjukkan bahawa proses permohonan kewarganegaraan Malaysia bagi anak saya sedang diproses. Dia juga tidak mempunyai insurans kerana kebanyakan syarikat insurans tidak mahu meluluskan pemegang passport Egypt.

Saya sedang membesarkan anak saya di Italy sebagai ibu tunggal yang bekerja. Semasa pandemik, saya tidak dapat balik ke Malaysia kerana anak saya yang bukan warganegara Malaysia hanya layak mendapat visa selama 30 hari. Apa yang akan terjadi kepada anak saya apabila visanya tamat tempoh? Saya baru bercerai dengan suami saya dan saya gelisah untuk menghubungi suami saya demi memperbaharui pasport anak saya. Situasi ini telah merampas autonomi diri saya.

Semasa berkerja di Doha, saya bertemu jodoh dengan suami saya. Tuhan lebih menyayangi anak pertama kami, dan beliau meninggal semasa dilahirkan. Kehamilan saya dengan anak kedua, diklasifikasi oleh doktor sebagai kehamilan berisiko tinggi. Jadi, mustahil untuk saya terbang balik ke Malaysia supaya anak kedua ini dilahirkan sebagai warga Malaysia. Oleh itu, anak kedua saya tidak diberi kewarganegaraan Malaysia.

Perjalanan hidup Maryam yang dikategorikan sebagai warga asing di negara ibunya sendiri, amatlah perit dan perih. Pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa kami lalui. Saya sentiasa berasa resah sekiranya saya tidak ada di dunia ini ataupun sesuatu terjadi ke atas perkahwinan saya dan suami, apa lah nasib Maryam?

Anak sulung saya dah berumur tujuh tahun dan dia hanya boleh tinggal di Malaysia dengan menggunakan pas pelajar. Ia jauh lebih sukar daripada difikirkan untuk mencari sekolah yang kami mampu, yang mempunyai lesen untuk memohon pas pelajar. Sekolah juga perlu mendapat surat kebenaran dari Kementerian Pendidikan Malaysia untuk anak saya dan proses ini mengambil masa 6-8 minggu.

Sementara menunggu pas pelajar diproses, anak saya memerlukan pas khas yang perlu diperbaharui setiap 30 hari. Birokrasi dan peraturan yang tidak munasabah menyebabkan tekanan dan kebimbangan yang tidak berkesudahan. Begitu payahnya saya sebagai ibu warganegara Malaysia untuk memastikan anak-anak saya boleh tinggal bersama saya di negara kelahiran saya.

Antara empat orang anak saya, hanya anak keempat tidak mendapat kewarganegaraan Malaysia kerana dia dilahirkan luar negara. Sebelum pergi ke luar negara, saya telah bertanya kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan Imigresen, dan diberitahu bahawa anak saya boleh mendapat kewarganegaraan Malaysia, walaupun dilahir luar negara. Namun, kami mendapat kejutan besar selepas melahirkan anak. Apabila kami menghubungi Kedutaan Malaysia, kami diberitahu bahawa dia tidak layak untuk kewarganegaraan.

Selepas hampir tiga tahun, anak saya masih tiada kewarganegaraan. Tak pernah terfikir langsung untuk ambil kewarganegaraan lain, selain tanah air tercinta. Kami bina hidup di sini. Anak-anak lain pun tak pernah kami daftarkan di negara suami.

Saya melahirkan anak pertama di Belgium tanpa mengetahui bahawa anak dilahirkan di luar negara tidak mendapat kewarganegaraan Malaysia secara automatik. Saya bertekad untuk pulang ke Malaysia untuk melahirkan anak kedua, tetapi dia dilahirkan sebulan lebih awal daripada yang dijangka, sebelum saya dapat pulang ke Malaysia. Kejadian ini telah menyebabkan saya mengalami kemurungan sepanjang waktu berpantang, tetapi atas semangat dan doa arwah ibu saya, saya akhirnya redha pada takdir.

Sudah tiba masanya kerajaan memberi wanita hak yang sama dengan lelaki, kerana wanita juga penyumbang ekonomi negara Malaysia. Jangan pandang rendah pada tangisan dan doa ibu kerana mujarabnya boleh mengoncang dunia.

Jika anda seorang ibu terkesan, sertai kempen ini dengan berkongsi cerita anda di sini.

Daripada 2,352* ibu warga Malaysia

yang terpaksa memohon kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara sepanjang 2018 hingga Oktober 2021,

*Angka diperoleh daripada jawapan bertulis parlimen (Kementerian Dalam Negeri) pada 26 Okt 2021

Hanya 21 permohonan diluluskan.

Terdapat satu penyelesaian yang cukup mudah.

Kerajaan Malaysia mesti mengeluarkan dokumen kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warga Malaysia seperti mana yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September 2021*. Mahkamah Rayuan telah pun menolak permohonan Kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Kementerian Dalam Negeri harus mengeluarkan arahan kepada semua cawangan JPN dan Kedutaan Malaysia di luar negara supaya menyeragamkan proses pendaftaran dan memastikan proses di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi ibu warga Malaysia adalah sama dengan proses bagi kaum lelaki warga Malaysia. Kementerian Luar Negeri pula harus memastikan bahawa semua Kedutaan Malaysia di luar negara telah mendapat arahan tersebut.

*Pada 9 Sept 2021, Mahkamah Tinggi KL memutuskan dalam kes Suriani Kempe & Ors. vs Kerajaan Malaysia & Ors. bahawa perkataan “bapa” dalam Jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu. Dengan ini, kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada seorang ibu warganegara Malaysia adalah seorang warganegara secara "kuat kuasa undang-undang". Ini selaras dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan — peruntukan dalam Perlembagaan yang melarang sebarang diskriminasi berdasarkan jantina—yang dibaca secara harmoni dengan Artikel 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan, dengan Bahagian (1)(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah juga telah memerintahkan pihak berkuasa untuk mengeluarkan dokumen berkaitan kepada kanak-kanak yang terkesan. Namun, Jabatan Pendaftaran Negara masih menangguh pengeluaran dokumen berkaitan kewarganegaraan kepada anak kami.

KRONOLOGI KES SURIANI KEMPE YANG BERJUANG UNTUK HAK KEWARGANEGARAAN YANG SAMA RATA BAGI ANAK-ANAK YANG DILAHIRKAN DI LUAR NEGARA KEPADA IBU-IBU WARGANEGARA MALAYSIA.

Inilah cara anda boleh membantu kami.

Menggesa Menteri Dalam Negeri untuk bertindak dengan hantarkan tweet di bawah. Tweet ini akan tag beliau secara automatik di media sosial.

#TarikBalikRayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yg memberikan hak kpd ibu warga Malaysia utk menganugerahkan kewarganegaraan kpd anak2 mereka yg dilahirkan di luar negara secara automatik. @IsmailSabri60 @AGCPutrajaya @dswjtj #sayaJUGAanakMalaysia www.SayaJugaAnakMalaysia.my